img.emoticon { padding: 0; margin: 0; border: 0; }

Zambry kekal mb perak

PUTRAJAYA 9 Feb. – Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-Pas-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Penghakiman dibaca oleh Hakim Arifin. – Bernama

Kronologi keputusan mb perak 9 Febuari 2010

11.00 pagi Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
10.42 pagi Tan Sri Ariffin Zakaria memutuskan permohonan Nizar sepatutnya tidak dibuat mengikut Perkara 36(2) tetapi 16(2) dalam perlembagaan negeri.

10.15 pagi Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria sedang membaca keputusan pengadilan.

10.10 pagi Panel lima anggota hakim memasuki mahkamah.

Penyokong Pakatan kini melebihi penyokong BN dengan laungan "Reformasi" dan "Hidup Rakyat' terus bergema.

9.25 pagi Penyokong Pakatan semakin bertambah kepada 300. Mereka bawa banner "Mahkamah rakyat Nizar MB" dan melaungkan "reformasi" dan "Hidup rakyat".
Lim Kit siang duduk di belakang dekat pintu, kerusi dibawa masuk oleh polis. Di sebelahnya Ngeh dan ADUN titi serong, Idham Lim.

9.50 pagi Anggota FRU memisahkan penyokong kedua belah pihak - Pakatan di sebelah kiri dan Umno di sebelah kanan.

Ngeh Koo Ham juga masuk dan berjabat tangan dengan exco negeri Perak dari BN dan speaker Ganesan
9.25 pagi Kira-kira 20 anggota FRU mengarahkan semua penyokong dan media beredar dari tangga bangunan mahkamah. Datuk Sei Nizar Jamaluddin masuk ke mahkamah bersama isteri, dan bersalaman dengan beberapa penyokong BN.

200 Penyokong Umno berhimpun depan tangga mahkamah manakala penyokong Pakatan sekitar 100 orang.

Penyokong BN membalas dengan laungan "Daulat Tuanku" dan "Penderhaka"
9.37 pagi Penyokong BN berpaian kuning berkumpul di luar Istana Keadilan melebihi jumlah penyokong Pakatan.

9.36 pagi Penyokong BN melaungkan perkataan "Daulat Tuanku" dan "Penderhaka".

9.10 pagi ADUN Pakatan Perak, Chang Lih Kang, Wong Kah Hoe dan Kesivinder Singh dihalang polis daripada memasuki mahkamah. Ekoran itu, 50 penyokong Pakatan mengelilingi anggota pasukan keselamatan bagi memberikan tekanan.

9.05 pagi Datuk Sei Nizar Jamaluddin tiba bersama isteri jam 9.05 pagi, disambut oleh 50 penyokong Pakatan yg melaungkan "Hidup Nizar", "Bubar DUN" dan "Hidup Rakyat".

8.45 pagi Tiada tanda-tanda penyokong Pakatan hadir. Hanya seorang ADUN Titi Serong dan beberapa penyokong PAS dan DAP.

8.30 pagi Penyokong BN meningkat lebih daripada 100 orang. Mereka berdoa untuk kemenangan DatukSeri Zambry Abd Kadir.

8.25 pagi Kira-kira 50 penyokong BN, kebanyakannya Melayu berhimpun di depan Istana Keadilan sambil melaungkan "Daulat Tuanku", "Hidup Zambry", "Hidup BN".

8.15 pagi Sekumpulan orang, dipercayai penyokong BN, memakai kemeja-t kuning bertulis "Daulat Tuanku" berkumpul di depan mahkamah.

8.10 pagi Sekumpulan anggota polis kelihatan mula mengawal keadaan.

penentuan : Zambry atau Nizar MB Perak?

two_mb PERSOALAN siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan terjawab apabila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya esok (Selasa). Keputusan itu akan menentukan sama ada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dari Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan jawatan disandang atau Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari pakatan pembangkang mendapat semula jawatan tersebut.

Kontroversi siapa Menteri Besar Perak bermula apabila dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering), bertindak keluar parti pada 30 Januari tahun lalu.

Langkah kedua-dua mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas diikuti oleh Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP.

Tindakan tersebut telah menyebabkan kedua-dua pihak iaitu BN dan pakatan pembangkang (DAP-PKR-Pas) mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama banyak, 28. Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

Bagaimanapun, kelebihan menyebelahi BN apabila wakil-wakil rakyat Bebas terbabit menyatakan sokongan padu kepada parti itu.

Mengambil kira keadaan yang berlaku, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar melepaskan jawatannya dan memperkenankan Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Apa pun keputusannya esok, ramai yang melihat, ia akan tetap mengundang pelbagai persepsi dan kontroversi.

Bagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, sekiranya Zambry menang dalam kes itu, ia akan memberi beliau ruang yang lebih luas untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.

''Ini memudahkan beliau merencanakan pembangunan yang dirancang dengan lebih tersusun dan tanpa wujud prasangka negatif pihak-pihak tertentu," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Apa yang penting jelas Mohammad Agus, Zambry harus menunaikan janji-janjinya memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan pentadbiran kepimpinan beliau seperti dalam tempoh setahun ini.

Sebaliknya jika keputusan tersebut berpihak kepada Mohammad Nizar, tindakan pertama yang dijangka akan dilakukan ialah membubarkan DUN.

''Dia kena bubarkan DUN seperti mana dijanjikan. Jika tidak, dia berbohong kepada rakyat," kata Mohammad Agus lagi.

Ada yang melihat majoriti yang dimiliki oleh BN menerusi sokongan wakil rakyat Bebas akan menjadikan mereka kekal di dalam Dewan, namun pandangan sebaliknya dilontarkan oleh Mohammad Agus.

''Pembangkang masih boleh membubarkan DUN kerana ini berbalik kepada prinsip status-quo, maknanya Nizar sebagai Menteri Besar, boleh menasihatkan Sultan untuk membubarkan DUN.

''Untuk bubar DUN, tidak perlu majoriti, terpulang kerana Sultan mengikut budi bicara baginda sama ada setuju atau tidak," tegasnya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat, kemenangan Zambry sudah pasti akan menyebabkan para penyokong Mohammad Nizar sukar mengakui hakikat tersebut.

''Bagi jangka panjang, kita tidak tahu apakah akan wujud tentangan secara berterusan. Jika ini berlaku, Perak yang sepatutnya telah keluar dari kepompong kemelut politik, akan berterusan tidak stabil.

''Jika Nizar menang pula, apakah akan muncul seorang lagi 'aktor politik' iaitu Sultan Perak? Apakah Sultan Perak akan memperkenankan pembubaran DUN? Jika tidak, apa akan berlaku pada Perak," soalnya.

Hakikatnya, keputusan ini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak tetapi turut menjadi tumpuan para pemerhati antarabangsa.

Ironinya, keputusan tersebut diumum selepas tiga hari Zambry genap setahun dilantik sebagai Menteri Besar.

Zambry ketika ditanya tentang keputusan yang bakal diumumkan itu berkata, beliau menerima apa sahaja ketentuan Allah SWT.

Sementara Mohammad Nizar yang juga dikemukakan soalan sama mengatakan, beliau yakin pakatan pembangkang akan menang.

Apa pun yang akan berlaku, sebagai pemimpin, kedua-dua pihak seharusnya menyedari di sebalik jawatan yang dikejar, ada perkara lebih besar menanti dan perlu mereka fikirkan bersama.

''Apa sahaja keputusan nanti perlu dihormati sebagai tanda mempertahankan institusi kehakiman dan seterusnya melihat ia sebagai satu hakikat atas kepentingan rakyat. Jika ada yang tidak puas hati, tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk menterjemahkan perasaan itu," kata Sivamurugan.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

bajet 2010 : BN nyaris tumbang

Drama lewat malam di Parlimen …cubaan Anwar ‘ tumbangkan kerajaan ‘ hampir berjaya

 

 

 

 

 

 

Jika lebih setahun lalu, cubaan pakatan pembangkang melalui usaha pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘menggulingkan’ kerajaan dibuat secara pujukan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti gagal, usaha dan hasrat tersebut sebenarnya tidak pernah padam.
Cumanya kali ini ia dibuat melalui cara yang lebih demokratik iaitu dengan berusaha menggagalkan bajet yang telah dibentangkan oleh kerajaan. Mengikut amalan berparlimen, jika sesuatu bajet yang dibentangkan oleh kerajaan tidak diluluskan, ia bererti kerajaan yang sedia ada perlu meletakkan jawatan. Itulah aturan mainnya.
Perkara tersebut hampir menjadi kenyataan Isnin malam apabila perbahasan peringkat jawatankuasa untuk bajet setiap kementerian selesai dibahaskan. Terakhir bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Setelah selesai dibahas dan digulung oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seperti amalan biasa akan meminta suara ahli yang bersetuju atau menolak.
Namun menyedari kehadiran Ahli Dewan Rakyat kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang selalu tidak penuh, Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagian dibuat. Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.
Timbul sedikit suasana panik di pihak BN bila cadangan undi belah bahagian diminta kerana jumlah Ahli Dewan Rakyat pembangkang kelihatan begitu ramai dan Anwar sendiri turut hadir sehingga lewat malam.
Setelah loceng panggilan dibunyikan selama dua minit, pengundian dijalankan yang menyaksikan keputusannya 64 suara menyokong bajet untuk KDN diluluskan manakala 63 menolak Menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir lewat malam bagi memastikan undi BN mengatasi undi pembangkang.
Setelah itu berlaku pertikaman lidah yang mempertikaikan keputusan undian tetapi Speaker berjaya menteteramkan keadaan.
Panik tidak terhenti setakat itu kerana setelah urusan perbahasan peringkat jawatankuasa selesai, Dewan Rakyat harus mengundi sekali lagi bagi bacaan kali ketiga untuk meluluskan keseluruahn bajet berkenaan.



 

 

 

 

 

 

 

Sekali lagi pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M.Kulasegaran meminta agar undi belah bahagian dijalankan.
Dalam masa itu beberapa orang Ahli Dewan Rakyat sampai dan menjadikan 66 menyokong bajet 2010 diluluskan manakala yang menolak kekal 63 undi.
Menariknya drama lewat malam itu ialah mengenai masa depan kerajaan.

Berdasarkan amalan, jika bajet tidak diluluskan, dalam bahasa mudahnya, kerajaan sedia ada dianggap telah tumbang dan diganti dengan kerajaan baru.
Melihat betapa besarnya kesan pengundian kepada bajet, maka tidak hairanlah Anwar yang jarang berada di Parlimen hingga lewat malam, kali ini sanggup memastikan seramai mungkin Ahli Dewan Rakyat pembangkang tetap berada di Dewan itu.
Conggaknya mudah sahaja kerana, daripada 137 Ahli Dewan Rakyat BN, 25 adalah Menteri (semua Menteri 30 orang termasuk lima Senator yang merupakan Ahli Dewan Negara dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pengundi di Dewan Rakyat), 33 Timbalan Menteri daripada 40 semuanya termasuk tujuh Senator menjadikan jumlah Ahli Dewan Rakyat BN yang menjadi penyokong seramai 79 orang.
Daripada jumlah tersebut, Menteri dan Timbalan ada yang mempunyai urusan rasmi kerajaan dan tidak boleh hadir ke Dewan Rakyat. Daripada 79 orang penyokong kerajaan, ada yang mempunyai urusan atau sudah berada di luar Dewan.
Senario ini sering menyaksikan kehadiran kadang kala tidak mencecah 50 orang di pihak BN.

Sedangkan pembangkang mempunyai 82 ahli dan Bebas tiga orang.
Berdasarkan pemantauan dan conggak tersebut, pihak pembangkang mungkin membuat andaian mengikut beberapa pengundian yang dibuat sebelum ini, jumlah Ahli Dewan Rakyat BN yang berada di Dewan kadang kala hampir sama jumlahnya dengan Ahli Dewan Rakyat pakatan pembangkang.
Mungkin atas perkiraan ini, Anwar melihat pengundian lewat malam di Dewan Rakyat merupakan peluang untuk ‘menggulingkan’ kerajaan secara lebih demokratik.
Melihat kepada situasi ini, BN tidak boleh sentiasa merasa selesa kerana setiap peluang yang ada pasti akan diintai oleh pakatan pembangkang.
Apakah selepas ini BN akan lebih serius berhadapan dengan pembangkang di Dewan Rakyat kerana Perdana Menteri dan Timbalannya yang merupakan Ketua Whip BN dapat menyaksikan sendiri bagaimana kelebihan tiga undi yang meluluskan Bajet 2010 telah berjaya menyelamatkan hayat kerajaan BN.
Malah menukar mesyuarat kabinet pada hari Jumaat semasa sidang Dewan Rakyat daripada semangatnya ialah bagi membolehkan Menteri dan Timbalannya sentiasa berada di Parlimen.
Begitu juga halnya dengan wakil rakyat yang menjadi penyokong, kehadiran tidak boleh diambil mudah.

Moga mereka belajar dan sedar kerana landskap politik dan Dewan Rakyat telah berubah..... – 14/12/2009

Kemunculan saat akhir Datuk Jo patahkan gerakan 14 Disember

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ada banyak cerita disebalik drama di bangunan Parlimen yang cukup mendebarkan Isnin malam dimana kerajaan nyaris ‘ terbalik’ dalam gerakan pembangkang untuk pintas Bajet 2010 yang boleh membawa implikasi politik dan ekonomi amat besar kepada negara.

Sepanjang hari Selasa – walaupun suasananya tenang-tenang saja di Parlimen – kekalutan yang terjadi sepanjang lebih tiga jam itu membuatkan ramai kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional termenung tepuk dahi memikirkan betapa mereka bernasib baik bajet itu akhirnya lulus dengan 66 undi menyokong dan 63 menolak – yakni beza cuma 3 undi sahaja.
Bayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadiri satu majlis di Sekolah Chung Hwa di Jalan Ipoh,Kuala Lumpur terpaksa bergegas meninggalkannya untuk berkejar ke Parlimen setelah mendapat panggilan ‘ kecemasan’ tentang jumlah Ahli Parlimen pembangkang melebihi Ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat.
Ribuan hadirin di majlis itu tercengang tanpa mengetahui apa puncanya.Ini lebih-lebih lagi melihat beberapa pemimpin MCA yang juga Ahli Parlimen turut menyertai beliau meninggalkan majlis tergesa-gesa.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkejar ke Parlimen.
Bekas Menteri Kerjaraya yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Mohd Zin Mohamed yang baru turun dari pesawat di KLIA sekembali dari luar negara tidak sempat pulang ke rumah.
Kebetulan sebaik saja menghidupkan telefon bimbitnya di lapangan terbang itu dan membaca SMS yang masuk meminta segera ke Parlimen,beliau tanpa memikir panjang terus mengarahkan pemandunya memecut ke bangunan Parlimen.
Di sekitar parlimen Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang jaga urusan parlimen terpaksa ‘ pusing keliling’ menyelaraskan usaha memastikan jumlah Ahli Parlimen BN cukup.
Dalam pada itu Penyelaras Ahli Parlimen BN,Datuk Zainal Abidin Rahim berusaha sedaya upaya beliau untuk menyelamat keadaan dengan menelefon dan SMS semua Ahli Parlimen BN yang tidak ada di parlimen supaya segera datang.
Turut sama membantu mengawasi keadaan ialah Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latif Ahmad.
Keadaan memang cukup mendebarkan waktu itu setelah mereka menyedari macam ada sesuatu ‘ tak kena’ melihatkan pergerakan ‘ lain macam’ Ahli Parlimen pembangkang yang makin ramai muncul.
Kebiasaannya pada waktu malam begini jumlah Ahli Parlimen baik BN dan pembangkang tidaklah begitu ramai di parlimen.
Kebelakangan ini kerana banyak perbahasan dan pengulongan belanjawan kementerian-kementerian sidang Dewan Rakyat yang bermula jam 10 pagi berlarutan hingga jam 10.30 malam.
Dalam keadaan biasa sidang tamat jam 5.30 petang.

Ikut ceritanya Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang ketika itu sedang relaks berada di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju telah ‘ dikerah’ segera ke Parlimen oleh seorang rakan sejawatnya untuk tujuan itu.
Drama ini bermula semasa pengulongan perbahasan di peringkat jawatankuasa belanjawan Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman sekitar jam 8 malam.
Seorang Ahli Parlimen BN memberitahu Agendadaily perasaan curiga mereka mula memuncak bila melihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim,Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan orang kuat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) turun ke lobi parlimen (dari pejabat Anwar di Menara Parlimen).
Kecuali Kit Siang…Anwar dan Hadi jarang kelihatan di Parlimen waktu malam.
Ketika itu jumlah Ahli Parlimen BN kurang dari Ahli Parlimen pembangkang.
Awalnya kehadiran mereka yang makin ramai tidak disedari.Sebahagian ada dalam dewan manakala lain-lainnya sekitar bangunan Parlimen.
Ada juga yang datang semula ke Parlimen setelah keluar sebelum itu.
Malah ketika itu ada seorang Ahli Parlimen pembangkang sedang relaks menonton siaran langsung pertandingan bola sepak Malaysia-Laos dengan beberapa orang Ahli Parlimen BN di sebuah bilik tidak jauh dari Dewan Rakyat.
Ia dikatakan satu gerakan terancang untuk ‘ perangkap’ Ahli Parlimen BN agar tidak menyedari jumlah Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya.
Rupanya secara diam-diam mereka dikatakan mengira jumlah Ahli Parlimen BN yang ada.
Apa yang diduga nyata betul bila Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagian dibuat. Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.
Bayangkan jika tewas dalam undi belanjawan KDN ini bererti peruntukkan kewangan untuk kementerian itu tidak dapat digunapakai sehinggalah belanjawan itu dibentang semula dan diluluskan.
Ini bererti jika ambil masa dua tiga bulan – makanya wang untuk gaji kakitangan dibawah KDN dan agensi-agensi dibawahnya tidak dapat disalurkan.Begitu juga dengan wang untuk projek-projek,program dan segalanya.
Debar tak debar…bayangkan beberapa minit menjelang pengundian belanjawan KDN jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang sama 63-63.
Penyelamat BN dalam situasi yang amat mencemaskan itu kebetulan jatuh kepada Timbalan Menteri Pertanian Datuk Johari Baharom, Ahli Parlimen Kubang Pasu.
Kemunculannya adalah antara yang paling klasik sekali dan betul-betul disaat akhir.
Sebenarnya ketika ‘panggilan kecemasan ‘ pertama dikeluarkan pada semua Ahli Parlimen BN,beliau sedang berada dalam kereta dekat Kuala Klawang,Negeri Sembilan dalam perjalanan menuju ke Muadzam Shah di Pahang.
Demi tugas semata-mata untuk meninjau segera masalah seorang pengusaha syarikat tenusu yang hendak membuang dua lori tangki susunya - beliau terpaksa redah ke situ pada sebelah malam.
”Saya mulanya jadi serba salah ketika menerima panggilan kecemasan suruh datang segera ke Parlimen dari Datuk Zainal .Saya memang nak pergi tengok sendiri masalah pengusaha tenusu itu.Namun saya sedar kalau tidak segera berpatah balik ke Parlimen…masalah amat besar akan menimpa kerajaan,”katanya.
Menurut Johari beliau terus meminta pemandunya memecut selaju mungkin balik ke Kuala Lumpur.
Katanya hati menjadi tambah berdebar kerana ketika sampai ke sekitar Shah Alam beliau mendapat khabar terbaru cuma ada masa 10 minit sebelum pengundian dijalankan.
Namun beliau bersyukur sejurus tiba di bangunan Parlimen dan bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat pengundian betul-betul hampir bermula.
Ketika itu jam menunjukkan sekitar jam 10.45 malam dan jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang 63-63.
Kemasukan beliau di saat akhir itu menjadikan BN 64 orang cuma lebih seorang saja.

Drama mendebarkan itu berterusan kerana setelah urusan perbahasan peringkat jawatankuasa selesai, Dewan Rakyat harus mengundi sekali lagi bagi bacaan kali ketiga untuk meluluskan keseluruhan Bajet 2010.
Sekali lagi pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M.Kulasegaran meminta agar undi belah bahagian dijalankan.
Dua orang yang terakhir melangkah masuk ke Dewan Rakyat menjelang pengundian sekitar jam 11.15 malam menjadikan jumlah Ahli Parlimen BN 66 orang ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.
Pengundian telah memihak kepada BN 66-63 iaitu kelebihan 3 undi saja.
Difaham jika tewas belanjawan kerajaan untuk segalanya jem sehinggalah ia dibentangkan semula dan diluluskan.Proses itu dijangka memakan masa.
Impaknya bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi dan pembangunan negara.

Shahrir yang merupakan salah seorang hadir sidang parlimen setiap hari sampai selesai menilai apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat serius.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata kehadiran Ahli Parlimen BN adalah satu tanggongjawab yang tidak boleh diabaikan lebih-lebih lagi ketika hendak meluluskan bajet.
Baginya pembangkang tetap dengan strategi mereka bila saja ada peluang.” Soalnya jika ramai Ahli Parlimen BN yang hadir strategi apa sekalipun mereka buat tidak akan berjaya,”katanya.
Menurut Shahrir sepatutnya semua Ahli Parlimen BN membatalkan semua program di luar pada hari yang penting itu.

Mengulas tentang kesannya jika BN tewas dalam pengundian itu,beliau berkata hakikatnya kerajaan BN akan kehilangan kuasa sekiranya bajet itu tidak diluluskan Dewan Rakyat .

“Bagi menggerakkan sesebuah kerajaan ia memerlukan bajet dan sekiranya bajet tidak ada bagaimana kerajaan boleh berjalan.

“Katakanlah malam tadi bajet tidak lulus. Timbul persoalan bagaimana kerajaan hendak mentadbir negara untuk Januari hingga seterusnya,” katanya.-15/12/2009 Agendadaily

Debaran 14 Dis...7 Menteri, 20 Timbalan dan 39 BNBBC jadi penyelamat

Cerita debaran Isnin malam di Dewan Rakyat yang menyaksikan BN berjaya mendapat kelulusan bajet 2010 dengan hanya kelebihan tiga undi masih belum reda.
Di pihak pembangkang, banyak juga ceritanya.Penyokong mereka kecewa kerana Ahli Parlimen pembangkang tidak hadir dalam jumlah yang penuh kerana jika itu berlaku keputusan pengundian mungkin akan menyaksikan keadaan yang amat menyulitkan pihak kerajaan.
Apabila berita tersebut disiarkan, pelbagai komen diberikan. Ada yang kecewa dengan perkara berlaku dan tidak kurang juga mahu mengetahui siapakah kalangan Ahli Parlimen BN yang hadir pada malam pengundian dijalankan.
Berdasarkan rekod Parlimen, daripada 66 Ahli Parlimen BN yang hadir, tujuh orang adalah Menteri, 20 Timbalan, dua Timbalan Speaker dan 37 ahli penyokong kerajaan (BNBBC).
Tujuh menteri tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, Menteri di JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Manakala Timbalan Menteri yang hadir pula ialah Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Datuk Wira Johari Baharom, Datuk Wira Abu Seman Haji Yusop, Datuk Yong Khoon Seng, Datuk Rohani Karim, Datuk Wira Chor Chee Heung, Wee Jeck Seng, Datuk Robert Lau, Datuk Joseph Salang Gandum, Joseph Entulu Belaun, Datuk Dr Wee Ka Siong, Jelaing Mersat, Fadillah Yusof, Datuk Tan Lian Hoe, Saifuddin Abdullah, Datuk Hassan Malek, Datuk Abdul Rahim Bakri, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk M. Saravanan dan Datuk Liew Vui Keong.
Menariknya bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abd Taib (Kota Samarahan) yang kini berstatus penyokong kerajaan turut hadir menyokong kelulusan bajet berkenaan.
Selain beliau, Ahli BNBBC yang berjumlah 80 orang semuanya, yang hadir cuma seramai 37 sahaja yang hadir manakala tidak hadir seramai 41 orang.
Mereka ialah Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (Lipis), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fakri Kuala Nerus), Datuk Abdul Manan Ismail (Paya Besar), Datuk Paduka Abu Bakar Taib (Langkawi), Salleh Kalbi (Silam), Datuk Abd Rahman Dahlan (Kota Belud), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Aaron Ago Dagang (Kanowit), Yussof Mahal (Labuan), Datuk Abd Rahman Bakri (Sabak Bernam), Datuk Lillah Yasin (Jempol), Datuk Raime Unggi (Tenom), Ding Kuong Hiing (Sarikei), Hasbi Habibollah (Limbang), Sairingan Gubat (Ranau).
Mohd Nizar Zakaria (Parit), Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Sapawi Ahmad (Sipitang), Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Chua Tee Yong (Labis), Mohd Nor Othman (Hulu Terengganu), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin), Matulidi Jusoh (Dungun), Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading), Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed (Sepang), Datuk Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru).
Datuk Ismail Abd Mutalib (Maran), Ir Hamim Samuri (Ledang), Datuk Baharum Mohamed (Sekijang), Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut), Datuk Ismail Kasim (Arau), William@Nyallau Badak (Lubok Antu), Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Halimah Sadidque (Tenggara), Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).
Dua lagi Timbalan Speaker iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (Beluran) turut mengundi atas kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen BN dan penyokong kerajaan.
Di pihak pembangkang pula, seramai tujuh Ahli Parlimen PKR tidak hadir iaitu Azmin Ali (Gombak) , Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) , Datuk Zainal Abidin Ahmad (Hulu Selangor) , Dr Lee Boon Chye (Gopeng) , Manickavasagam (Kapar) , Datuk Zaharin Hashim (Bayan Baru) dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) .
Tujuh Ahli Parlimen DAP yang turut tidak hadir ialah Lim Guan Eng (Bagan) , Jeff Ooi (Jelutong) , Dr. Ramasamy (Batu Kawan) , Teresa Kok (Seputeh) dan Choe Ken Yow, Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan Gobind Sing Deo (Puchong) yang kini menjalani hukuman penggantungan satu tahun.
PAS pula Ahli Parlimennya tidak hadir iaitu Mahfuz Omar (Pokok Sena) , Dr Che Rosli (Hulu Langat), Mujahid Yusof Rawa( Parit Buntar) , Datuk Taib Azamuddin (Baling). – 16/12/2009 - Agendadaily

Datuk Seri Najib Razak berkata kegagalan ramai ahli parlimen BN hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 awal minggu ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.
Sambil memandang serius perkara itu, perdana menteri dilaporkan berkata arahan sudah diberikan supaya semua timbalan menteri dan ahli parlimen hadir pada persidangan itu.
"Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya.
"Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," Najib dipetik berkata pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Copenhagen malam tadi.
Beliau mengulas majoriti tiga undi saja bagi meluluskan Bajet 2010 menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.
Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam Isnin lalu.
Seramai 74 ahli parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.
Kehadiran ahli parlimen BN cuma 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota, berbanding 77 peratus anggota pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.-Malaysiakini

Kemungkinan 10 lagi pilihanraya kecil

Lapan ahli parlimen dan dua ADUN Pakatan Rakyat mungkin kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran mereka didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan agung dan kesalahan yang berkaitan dengannya.


Selain ahli parlimen PKR di Batu, Tian Chua - yang didapati bersalah atas tuduhan menggigit seorang anggota polis ketika dalam perjalanan ke Parlimen pada 2007 - tujuh lagi rakannya mungkin menerima nasib yang sama.


Mereka ialah ahli parlimen PKR - Azmin Ali, Sivarasa Rasiah, N Gobalakrishnan - Tony Pua (DAP), Dr Dzulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali dari PAS.

"Ini bermakna Pakatan Rakyat mungkin tinggal 74 kerusi di Parlimen," kata Bersih - gabungan parti politik dan NGO yang berkempen untuk pilihanraya bebas dan adil.

Dengan itu, katanya, BN akan memperolehi semula penguasaan dua pertiga di Parlimen.
"Dua DUN DAP (Selangor) - Ronnie Liu dan Lau Weng San - juga mungkin menjadi mangsa "gelombang" kedua terhadap perhimpunan haram.


Khamis lalu, Tian Chua didenda RM3,000 dan dihukum enam bulan penjara selepas didapati bersalah menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya untuk menjalankan tugas.


Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman untuk membolehkan Tian Chua memfailkan rayuan. Jika semua rayuannya ditolak, maka Tian Chua akan hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen.


Bersih, yang menyifatkan penghakiman tersebut sebagai satu pendakwaaan terpilih, mengingatkan bahawa jika rakyat tidak membantah "tekanan" seumpama itu, maka 10 wakil rakyat pembangkang mungkin turut hilang kelayakan mereka. – sumber : malaysiakini.com




Perubahan UMNO

Khamis Oktober 15, 2009 – ( Sumber ; mStar Online)

7 Pindaan Perlembagaan Umno Diluluskan Oleh Perwakilan

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSEIN

umno200916

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Khas (EGM) Umno hari ini bersetuju dengan cadangan untuk meminda tujuh perkara dalam fasal perlembagaannya.

EGM tersebut bermula pada pukul 12.20 tengah hari berakhir sejam kemudian dengan hanya empat perwakilan bangun untuk membahaskan pindaan mengenai cadangan yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM2.

Berikut intipati tujuh pindaan Perlembagaan Umno yang dibentangkan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang disokong oleh perwakilan yang hadiri.

Antara fasal-fasal yang akan dipinda ialah Fasal 9.3 – Pemilihan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi (MT) dibuat dalam persidangan bahgian setiap tiga tahun sekali.

Ini bermakna 146, 500 perwakilan bahagian diberi kuasa memilih berbanding hanya 2,510 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Jumlah itu termasuk 51, 000 perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pula dibuat dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing setiap tiga tahun sekali.

Fasal 9.5 – Kelayakan calon MT

Sistem kuota dihapuskan dan diganti sistem pendaftaran. Calon-calon yang pernah memegang mana-mana jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sekurang-kurangngnya dua di samping msding-masing seorang daripada Pemuda dan Puteri.

Fasal 25. 1 – Yuran

Yuran tahunan dihapuskan dan diganti dengan yura seumur hidup sebanyak RM2.

Fasal 5.2 – Pendaftaran keahlian

Permohonan menjadi ahli hanya perlu dikemukakan kepada Ketua Cawangan dan ketua sayap di cawangan yang diberi kuasa menerima dan meluluskannya.

Fasal 8.4.4

Komposisi Perhimpunan Agung Tahunan. Semua 191 Setiausaha Bahagian secara automatik diterima sebagai perwakilan.

Pindaan perlembagaan itu berlaku enam bulan selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kepimpinan Umno.

Sebelum ini Najib yang juga Perdana Menteri berkata, pindaan perlembagaan itu merupakan proses transformasi demi memastikan kelangsungan dan surival parti itu.

Ia dilakukan bagi menjadikan parti itu lebih telus, inklusif dan demokratik.

Pada sidang media kemudiannya, Hishammuddin berkata tindakannya selepas ini adalah memperincikan peraturan parti seperti soal korum yang dibangkitkan perwakilan ketika membahaskan pindaan itu.

Perubahan melibatkan peraturan parti hanya memerlukan kelulusan Majlis Tertinggi, katanya.

Klik Gambar Di Bawah Untuk Menderma Kepada Anak Ayam


Langgan Artikel

Masukkan alamat email anda:

Dibawakan oleh FeedBurner


Dungun Blogger`s

Link Exchange

Banner yang akan dipaparkan di laman anda adalah sebagaimana di bawah


Politik Anak Ayam

Klik Gambar Di Bawah Untuk Derma Kepada Anak Ayam

Followers

Artikel Paling Popular

Blog Pilihan Utama

Lain -Lain Blog Pilihan

About